SKUAD GHOSTBUSTERS: Majalah Maya . Aktiviti . Foto/Video . Memulihkan Gangguan Makhluk Halus . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://abjad-kelantan.blogspot.com

Isnin, 14 Januari 2013

Mangsa Saka: Kuala Besar (Kota Bharu)

GANGGUAN KERANA SAKA

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA 14.1.2013, anggota Unit Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh dan Anis Sabirin bin Azmi tiba di rumah mangsa pada pukul 10.30 malam. Kami ke rumah mangsa di Lorong Masjid Kedai Buloh di Kuala Besar dekat sini untuk menyambung program semenjak kunjungan awal unit kami pada 12.1.2013 untuk melihat dengan lebih dekat persekitaran rumah terbabit di samping menyelesaikan masalah gangguan terhadap penghuninya yang terdiri daripada bayi di rumah terbabit. Di antara bahan-bahan yang disediakan untuk majlis berkenaan seperti garam kasar, beras pulut hitam dan sedikit benang. Segenggam garam berkenaan digunakan untuk mandian bayi untuk mengelakkan gangguan terhadap bayi, baki garam kasar itu pula digunakan untuk melempar/menabur garam dan beras pulut hitam itu pula perlu ditanam di empat penjuru tiang (laman rumah) berkenaan ke belakang rumah.

Setelah kami tiba di rumah mangsa pada 14.1.2013 itu, salah seorang unit kami, Anis Sabirin bin Azmi memaklumkan, makhluk yang menghuni kawasan rumah mangsa telah menyeringai wajah ke arahnya dengan pandangan yang agak bengis seolah-olah geram dengan tindak-tanduk kami pada masa itu. Selepas itu, kami memulakan program berkenaan dengan melakukan kaedah Warisan Pusaka Tok Kenali seperti melakukan wirid, tasbih, wasilah dan rabithah sebagaimana kaedah terbaik, makhluk tersebut menerjah rumah mangsa ketika itu dan kami terasa bahangnya. Makhluk itu yang berambut panjang, sekali lihat seperti lelaki dan kadang-kadang berwajah wanita telah memasuki rumah mangsa ketika kami sedang melakukan wirid dan tasbih ketika itu.

Selang beberapa lama kemudiannya, makhluk itu tiba-tiba didapati melarikan diri dari rumah berkenaan dan ketika kaedah terakhir kami iaitu untuk melempar/menaburkan garam kasar yang telah digaulkan dengan beras pulut hitam dan benang itu, kami tidak lagi terlihat kelibat makhluk terbabit yang melarikan diri ke arah sebelah kanan rumah mangsa.

Unit Ghostbusters kami beredar dari rumah tersebut dan bertolak pulang jam 11.45 malam.

Seorang anggota unit kami, Aziz Haji Daud sedang mencampurkan bahan-bahan seperti garam kasar, beras pulut hitam dan benang ke dalam sebuah bekas.



Dua anggota kami sedang melakukan kaedah wirid dan tasbih.

Di sinilah makhluk ghaib itu sedang memerhatikan ke arah unit kami sedang wirid dan tasbih.

Makhluk itu kemudiannya turun dan mundar-mandir di tangga ini.




Seorang unit kami, Aziz Haji Daud sedang melempar/menabur garam yang dicampurkan dengan beras pulut hitam dan sedikit benang.

 Kelihatan gerombolan "orb" memenuhi laman rumah mangsa.

Foto ini dirakam di Lorong Masjid Kedai Buloh, Kuala Besar, Jalan Pantai Mek Mah, Kota Bharu, Kelantan pada 14.1.2013.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
ANIS SABIRIN BIN AZMI

Sabtu, 12 Januari 2013

Kempen Saka: Kuala Besar (Kota Bharu)

SAKA: KEMPEN

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA 12.1.2013, kami dari Unit Ghostbusters yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh dan Hafaizal Mat Ali telah mengadakan kempen dan majlis penerangan tentang saka di dua buah rumah di Kuala Besar dekat Pantai Mek Mah, Kota Bharu, Kelantan. Unit kami bertolak pulang dari rumah kedua jam 2.00 pagi pada 13.1.2013.


Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 5 Januari 2013

Toyol: Kg.Telosan (Pasir Puteh)

ANGKARA TOYOL

PASIR PUTEH, KELANTAN:  PADA 30.11.2012, Unit Ghostbusters kami menerima panggilan telefon tentang masalah yang dialami oleh mangsa, rentetan dari hal yang sama yang telah dimaklumkan kepada unit kami dua minggu sebelum itu. Menerima panggilan kedua pada 30.11.2012 itu, Unit Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh dan Hafaizal Mat Ali bergegas ke tempat kejadian.

Menurut mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Ku Mat dari Kampung Telosan, Pasir Puteh, Kelantan berkata, beliau sering kehilangan wang tunai dalam jumlah yang mencecah sehingga RM2,500. Kebanyakan wang ingin dibelanjakannya disimpan dalam dompet, sebahagiannya disimpan oleh isterinya didapati telah hilang. Beliau yang merupakan seorang peniaga runcit mengalami masalah untuk membayar harga barangan yang telah ditempah apabila wang tunai yang disediakan telah hilang secara "misteri".

Berikutan masalah sedemikian sering berlaku, beliau kemudiannya mendapatkan khidmat tiga orang bomoh berdekatan untuk tujuan menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Katanya, ketiga-tiga bomoh itu mengakui, masalah kehilangan wang tunainya secara misteri itu adalah gara-gara toyol dan menurut ketiga-tiga bomoh itu juga, terdapat seorang pembela toyol di kampung terbabit. Ketiga-tiga bomoh berkenaan juga cuba untuk membantunya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya tetapi tidak mampu berbuat demikian. Kehilangan wang semakin menjadi-jadi.

Kebanyakan jumlah wang tunai yang hilang adalah dalam note RM50 di mana wang berkenaan dicuri sebanyak sekeping sehari. Menerima makluman berkenaan, pada pukul 9.30 malam Unit Ghostbusters kami bertolak dari Kota Bharu ke Kampung Telosan, Pasir Puteh. Setibanya kami di tempat kejadian, kami melakukan kaedah Warisan Pusaka Tok Kenali (kaedah wirid, jabat dan doa). Dalam kaedah yang kami buat, kami dapat melihat toyol yang dimaksudkan sedang berdiri di tepi dinding kedai runcit miliknya di samping pembela toyol itu yang seolah-olah cuba menyerbu ketika kami sedang melakukan kaedah tersebut.Untuk menyelesaikan masalah toyol ini, kami sekadar menghalaunya supaya mangsa tidak lagi diganggu.

Selepas kaedah mengesan secara "rohani" untuk mengetahui tentang makhluk berkepala bulat, botak dan berbogel (toyol) itu dapat dikesan arah hadirnya ke rumah mangsa, kami kemudiannya melakukan kaedah melempar/menabur garam kasar yang dicampur dengan paku dan arang yang turut diisikan dengan wirid, jabat dan doa ke serata penjuru rumah sehingga ke atas bumbung rumah/kedai mangsa.

Selang dua minggu selepas operasi Unit Ghostbusters kami itu, kami dimaklumkan oleh mangsa bahawa, toyol yang dimaksudkan tidak lagi mengganggu beliau dan keluarganya.

Inilah kedai/rumah Pak Ku Mat. Kelihatan mangsa, Pak Ku Mat (baju-T putih) melihat seorang anggota Unit Ghostbusters kami melempar/menabur garam di setiap pelusuk rumahnya.



 Seorang anggota Unit Ghostbusters, Hafaizal Mat Ali (baju coklat) sedang melempar/garam ke atas bumbung rumah/kedai mangsa.

Foto ini dirakam di Kampung Telosan, Pasir Puteh, Kelantan pada 30.11.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH 

Jumaat, 4 Januari 2013

Makhluk Halus: Pasir Tumboh (Kota Bharu)

MAKHLUK HALUS MENCURI

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA 23.10.2012 (malam), Unit Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh dan Hafaizal Mat Ali bergegas ke rumah mangsa yang sering kehilangan wang tunai secara ghaib setelah menerima panggilan telefon dari anak saudara mangsa pada 22.10.2012. Kebanyakan wang tunai yang hilang itu dalam note RM50 dan kehilangan itu berlaku hampir setiap hari, jumlah kesemuanya yang hilang kira-kira RM2,000.

Menyedari kejadian agak pelik itu, mangsa pada mulanya tidak ingin mempercayai kejadian kehilangan itu disebabkan angkara "toyol". Tetapi berikutan dua dakwaan yang pernah dibuat oleh pengamal rawatan tradisional yang memberitahunya, kehilangan wang tunainya itu disebabkan perbuatan toyol yang diarahkan oleh "tuannya" dari kalangan penduduk tempatan juga.

Ketika Unit Ghostbusters kami tiba di rumah mangsa sambil ditunjukkan oleh anak saudaranya, kami masuk ke dalam rumah berkenaan sambil berbual-bual tentang hal berkenaan. Kira-kira 10 minit kemudiannya, Penulis bersama Abang Aziz keluar ke laman rumah mangsa. Ketika kami turun ke laman itu, Penulis dapat melihat dengan jelas kelibat "hantu raya" sedang bersandar di sebatang pohon bonsai yang terletak di penjuru pagar rumah mangsa. Apabila kami merakam foto, kamera tidak dapat merakam objek ghaib itu walaupun secara "infra-merah" mahupun menggunakan lampu kamera.

Selepas itu, kami masuk semula ke dalam rumah untuk melakukan beberapa kaedah wirid dan jabat untuk tujuan mengesan makhluk halus lain yang ada di kawasan sekitar rumah mangsa. Semasa dalam kaedah, Penulis dapat melihat lampu di rumah mangsa seperti "berkelip-kelip" (seperti dibuka dan ditutup berulang kali), malah Penulis dapat melihat di luar pagar rumah mangsa seperti ada satu pancaran sinar mata sebesar buku lima berwarna merah dan putih (sedang memerhatikan Penulis dari jarak jauh). Manakala menurut Abang Aziz pula, makhluk terbabit seperti memerhatikan kami sedang wirid dan salah satu makhluk (semuanya tiga makhluk halus) telah menyeringai ke arah kami ketika itu.

Setelah selesai kaedah wirid itu, Unit Ghostbusters kami turun ke laman untuk aktiviti melempar/menabur garam yang telah siap digaulkan bersama (garam kasar, paku dan arang) ke tempat-tempat yang sering menjadi laluan makhluk "hantu raya" itu menurut apa yang kami lihat. Selang beberapa minit kemudian, Penulis dapat melihat makhluk berpakaian hitam sedang mundar-mandir di luar (mungkin tidak dapat masuk ke kawasan laman rumah). Tidak berapa lama selepas itu, Penulis pula dapat melihat makhluk "berkepala botak" dan "bertubuh sasa dan kasar" yang mengenakan pakaian putih agak lusuh diikuti selepas itu makhluk bertubuh rendah dan agak renek. Kesemua makhluk berkenaan adalah makhluk yang sama iaitu "hantu raya" yang merubah corak penjelmaannya.

Beberapa detik kemudian, unit kami melakukan aktiviti melempar/menabur garam sebagaimana yang dilakukan oleh unit kami apabila diketahui wujudnya gangguan seumpamanya. Ketika aktiviti berkenaan, Penulis sempat merakam sekeping foto makhluk yang kami anggap seperti "hantu raya" (warna hitam) yang muncul dalam kamera kami. Kami menunggu perkembangan seterusnya dalam masa setengah jam sebelum unit kami bertolak pulang. Apabila keadaan mengizinkan dan tiada pekembangan yang sebaliknya, Unit Ghostbusters kami beredar dari rumah mangsa jam 12.55 tengah malam.

Dua anggota Unit Ghostbusters, Aziz Haji Daud (kanan, ketayap) dan Hafaizal Mat Ali (kiri, baju kuning).

Arah inilah hantu raya itu datang.


 
Hantu raya tiba-tiba menjelma berhampiran pohon bonsai ini.

Rakaman awal (lampu kamera): Tiada sebarang objek muncul. 

Rakaman kedua (infra-merah): Kelihatan objek hitam (anak panah) seolah-olah sedang berdiri di belakang Penulis. 


Seorang anggota Unit Ghostbusters sedang melempar/menabur garam.

 Foto ini dirakam di Taman Seri Wangi, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan pada 23.10.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rumah Misteri: Berek 12 (Kota Bharu)

MISTERI RUMAH PUSAKA

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA 2.10.2012 (malam hingga pagi), setelah menerima panggilan telefon kami dari Unit Ghostbusters yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh dan Hafaizal Mat Ali bergegas ke rumah mangsa yang terletak di Berek 12, Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu, Kelantan. Namun, kami memulakan operasi pada pagi 3.10.2012.

Ketika unit kami tiba di rumah mangsa pada pagi berkenaan, dari dalam kenderaan kami lagi, ketiga-tiga anggota Unit Ghostbusters kami sudah mula terasa bahang panas yang amat sangat. Tetapi kami tidak terus parkir kenderaan di rumah mangsa, sebaliknya kami sengaja berpusing-pusing di kawasan sekitar di kampung itu supaya unit kami tidak terlalu memberikan tekanan terhadap makhluk itu dan dalam usaha untuk mengelirukan makhluk halus yang menghuni rumah mangsa.

Selepas beberapa minit, kami mula parkir kenderaan secara mengejut di sebelah kiri rumah mangsa dan ketika Unit Ghostbusters kami keluar dari kenderaan, bahang panas dari arah rumah berkenaan semakin terasa dan dalam masa yang sama kami bertiga terdengar bunyi seperti sesuatu benda berat sedang melarikan diri dari arah bumbung rumah mangsa berulang kali. Bahang panas semakin mencengkam tubuh ketiga-tiga anggota kami dan tatkala kami memberikan salam untuk masuk ke rumah mangsa, bahang panas semakin membara.

Menurut ketua keluagra berkenaan yang dikenali sebagai Nik Zamri berkata, bunyi makhluk sedang berlari di atas bumbung rumahnya memang perkara biasa, sebaliknya hal yang luar biasanya ialah makhluk terbabit seperti "pocong" sering menjelmakan dirinya di dalam rumahnya seperti muncul pada cermin muka yang terletak di ruang tamu, dalam bilik anaknya yang bongsu dan anak sulungnya. Sesuatu yang menakutkan terutamanya terhadap isterinya ialah, makhluk terbabit pernah bersuara agak kasar dan pernah mengherdik isterinya beberapa kali.

Mengetahui cerita yang disampaikan oleh mangsa, Unit Ghostbusters kami hadir pada pagi itu (3.10.2012) mula melakukan kaedah Warsan Pusaka Tok Kenali dan Abjad Kelantan dalam usaha untuk mengekang gangguan tersebut. Selepas melakukan kaedah berkenaan, kaedah kami seterusnya ialah melempar/menabur garam sebagai satu syarat untuk memberitahu kepada makhluk berkenaan supaya tidak lagi mengganggu keluarga mangsa walau dalam keadaan dan apa cara sekalipun. Selepas itu pula, kami membuat pagar dengan kaedah yang agak sempurna supaya rumah berkenaan bebas dari gangguan makhluk ghaib lain yang ingin cuba "tumpang sekaki" dan cuba mengeruhkan keadaan dengan membantu makhluk halus yang sedia ada. Kami mula beredar dan bertolak pulang dari rumah mangsa jam 3.00 pagi sebagai menandakan majlis telah selesai.

Unit Ghostbusters kami kemudiannya dimaklumkan oleh keluarga mangsa bahawa masalahnya telah selesai dan tiada lagi gangguan makhluk yang dikatakan telah menghuni rumah pusaka tersebut. Rencana penuh ini boleh juga dibaca dalam RELATIF berjodol "Misteri Rumah Pusaka" di alamat: http://azmipasak.blogspot.com.
 

Suasana malam di rumah mangsa. Kawasan panas sebagai menandakan kehadiran makhluk halus di situ.



Anggota Unit Ghostbusters kami mula terdengar bunyi sesuatu sedang berlari di atas bumbung rumah mangsa ini.

"Orb" (bulatan seperti bulan) sebagai memandakan kewujudan makhluk halus di kawasan itu.

 
 Lembaga makhluk halus (bulatan merah) yang sempat dirakam pada pukul 12.04 malam.

Aura berbentuk lembaga makhluk halus (anak panah) dirakam pada pukul 12.42 tengah malam.


 
Kaedah wirid dan jabat untuk melihat makhluk halus.

 
Inilah "pocong" yang muncul di sebuah cermin muka di ruang tamu rumah mangsa.



 

 
Kaedah melempar/menabur garam ke arah tempat jelmaan makhluk halus.

 


Kaedah membuat pagar untuk mengekang gangguan makhluk jin tersebut.

Foto ini dirakam di Berek 12, Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu, Kelantan pada 3.10.2012. 

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH 

2012: Hari Raya Aidilfitri Kedua

HARI RAYA AIDILFITRI KE-2 (2012)

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA 20.8.2012, kami dari Unit Ghostbusters yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh dan Hafaizal Mat Ali meraikan "Majlis Hari Raya Kedua" yang diadakan di Pusat Abjad Kelantan bertempat di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Dalam majlis tersebut, kami sempat bertukar-tukar pandangan dengan murid-murid yang lain dan mendapatkan buah pandangan yang dianggap berguna dan membina buat Unit Ghostbusters kami daripada Tuan Guru (Badal), Ustaz Zulfakar. Selepas itu, kami meninjau sambil melihat kawasan pokok-pokok herba yang ditanam khusus untuk tujuan rawatan dan perubatan.

 
Penulis dan Tuan Guru (di sebelah).

 


Anggota Unit Ghostbusters mengambil kesempatan berehat di sebuah pondok dalam kawasan markas.

Foto ini dirakam di Pusat Abjad Kelantan, pada Hari Raya Aidil Kedua pada 20.8.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Makhluk Halus: Belukar Aur Cina (Pasir Mas)

GATAL: ANGKARA MAKHLUK HALUS

PASIR MAS, KELANTAN:  KAMI dari Unit Ghostbusters, ABJAD Kelantan meneruskan misi ke Pasir Mas pula apabila sebuah keluarga dari Kampung Belukar Aur Cina dekat sini yang dikatakan mengalami masalah gatal-gatal badan yang amat sangat ketika cuba memanjat dan memungut buah dari sebatang pokok asam dikenali "Pokok Setar" di belakang rumah mangsa. Bukan sahaja beliau yang mengalaminya, tetapi anak-anaknya yang turut serta pada hari itu menerima nasib yang sama.

Akibat gatal tersebut, mangsa menemui doktor di hospital dalam usaha merawat gatal yang dialaminya, namun dari pemeriksaan doktor, beliau tidak mengalami masalah penyakit kulit sebagaimana yang didakwanya, tetapi melihatkan keadaan kulitnya yang seakan menggelupas seolah-olah beliau dijangkiti kuman sehingga membuatkan kulitnya mengalami gatal-gatal. Malahan disebabkan tidak puas hati dengan keadaan itu, beliau membeli ubat-ubatan dari farmasi, namun sehingga ubat-ubat berkenaan habis digunakan, penyakit gatalnya masih juga belum sembuh.

Berikutan itu, mangsa memaklumkan kepada Unit Ghostbusters kami tentang kejadian itu. Pada 13.7.2012 (sebelah malamnya), Unit Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz) dan Azmi Mohd. Salleh bergegas ke rumah mangsa. Melalui kaedah Warisan Pusaka Tok Kenali, seorang anggota kami, Aziz Haji Daud dapat mengesan bahawa mangsa terkena "ludahan jin" ketika memungut buah setar tersebut. Melalui kaedah berkenaan, anggota kami itu meminta mangsa meminum "air penawar" yang telah disediakannya dan selebihnya boleh dibuat mandian. Selepas itu, kami menggunakan bahan-bahan seperti garam kasar, paku dan arang untuk ditaburkan di atas bumbung rumah dan di persekitarannya untuk menghalau makhluk halus yang kebetulan melalui kawasan itu setiap kali menjelang petang.

Anggota unit kami, Aziz Haji Daud melakukan kaedah Warisan Pusaka Tok Kenali melalui kaedah wirid dan jabat.
Rumah mangsa pada waktu malam.

 Di kawasan inilah seringkali berlaku gangguan sehingga menyusahkan mangsa.

Foto ini dirakam di Kampung Belukar Aur Cina, Pasir Mas, Kelantan pada 13.7.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH   

Makhluk Halus: Bekelam (Bachok)

JELMAAN MAKHLUK HALUS
DI JALANAN

BACHOK, KELANTAN:  PADA 13.7.2012 (malam hingga 3.30 pagi), Skuad Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh dan Hafaizal Mat Ali membuat satu tinjauan di Kampung Cherang Hangus, Bekelam, Bachok, Kelantan berikutan aduan daripada beberapa pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran kampung berkenaan yang mendakwa adanya lembaga makhluk halus yang menjelma di tengah-tengah jalan itu.

Ketika Skuad Ghostbusters kami bergegas ke tempat yang dituju pada tarikh berkenaan, hujan turun renyai-renyai dan kadangkala lebat dan setibanya unit kami di tempat yang dimaksudkan, hujan mulai reda dan kami parkir kenderaan di sebuah tapak rumah di tepi jalan dalam kawasan sawah padi terbabit. Kami merakam 36 keping foto, tetapi melihat kepada foto kedua yang dirakam menggunakan "lampu kamera" didapati ojbek yang disyakki makhluk halus tiba-tiba muncul agak jauh dari tempat kami parkir kenderaan.

Namun begitu, Penulis meneruskan misi dengan merakam foto di kawasan sawah padi, tempat parkir kenderaan dan kawasan jalan raya terbabit. Ketika Penulis ingin merakam foto jalan raya yang menghala ke Kuchelong, sambil duduk Penulis merakam jalan raya tersebut. Dengan tidak disangka-sangka ketika itu, Penulis tersilau kelibat lembaga berupa seorang lelaki tiba-tiba melintas keluar dari arah sebatang pokok berhadapan tempat unit kami parkir kenderaan itu. Penulis meminta komen salah seorang anggota unit kami, Hafaizal Mat Ali dan pendapat beliau hampir sama dengan Penulis.

Sementara itu, dari dalam kederaan, seorang anggota skuad kami, Aziz Haji Daud (Abang Aziz) sedang bermeditasi dan berinteraksi malah beliau telah menyelam ke alam ghaib untuk melihat kedudukan dan suasana makhluk tersebut. Kemudiannya beliau memaklumkan, dua lembaga yang didakwa penduduk kampung terbabit yang sering menjelma di jalanan kampung tersebut tidak menampilkan diri mereka, mungkin agak takut dengan kehadiran unit kami. Walau bagaimanapun, beliau dapat melihat di tempat kami parkir kenderaan yang juga tapak rumah di tepi sawah itu wujudnya sebuah rumah milik makhluk ghaib itu. Beliau cuba untuk memasuki rumah terbabit di mana sebuah pintu rumahnya didapati terbuka, tidak berjaya disebabkan terhalang oleh seorang makhluk wanita yang sedang menunaikan solat di balik pintu itu. Menurut Abang Aziz, wanita itu adalah makhluk halus dari golongan jin Islam dan ada juga jin bukan Islam di kawasan itu yang hidup secara koloni.

 
Papan tanda di Kampung Cherang Hangus, Bekelam, Bachok, Kelantan.

 
Inilah tapak rumah berdekatan jalan dan sawah padi iaitu tempat unit kami parkir kenderaan. Di kawasan hujung tapak rumah inilah terdapat rumah makhluk jin Islam yang merupakan perkampungan asal makhluk ghaib itu.

Lembaga jin yang berjaya dirakam oleh Penulis sedang memerhatikan ke arah skuad kami dari arah tempat parkir kenderaan.


Anak Panah: Lembaga seorang lelaki keluar dari arah pokok ini, kemudian terus berlari laju menghala ke cabang tiga Bekelam. 

Inilah arah makhluk halus itu berlari pantas apabila melihat kami merakam foto.



 Tidak wujud makhluk halus di kawasan cabang tiga Bekelam ini. Foto secara "infra-merah".

Foto ini dirakam di Kampung Cherang Hangus, Bekelam, Bachok, Kelantan pada 13.7.2012.
 
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH