SKUAD GHOSTBUSTERS: Majalah Maya . Aktiviti . Foto/Video . Memulihkan Gangguan Makhluk Halus . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://abjad-kelantan.blogspot.com

Selasa, 9 Ogos 2016

Makam Ustaz Zalfakar Zakaria


MAKAM USTAZ ZALFAKAR ZAKARIA

KOTA BHARU, KELANTAN: Badal (Tok Guru), Ustaz Zalfakar Zakaria telah pulang ke rahmatullah pada 24.5.2016 (jam 10.00 malam) setelah kira-kira setahun menerima wasilah dan ijazah ahli sufi daripada gurunya, Almarhum Ustaz Ahmad Junaidin Che Din (Ustaz Mad Janggut) pada 28.2.2015.

Ketika kewafatan Badal, Penulis ketika itu berada di rumah anak yang sulong di Nilai, Negeri Sembilan. Hasrat Penulis sebenarnya untuk berada di rumah anak dalam tempoh agak lama (sebulan). Tetapi pada tarikh tersebut, Penulis berasa tidak sedap hati, gelisah dan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Lalu sebelah petangnya, Penulis memberitahu keluarga untuk pulang pada malam itu juga.

Setelah tiba di Gua Musang, Penulis menerima mesej dari anggota Abjad yang lain yang memaklumkan Tok Guru telah pulang ke rahmatullah pada 24.5.2016 (jam 10.00 malam) itu.

Skuad Ghostbusters yang terdiri daripada Aziz Haji Daud, Azmi Mohd. Salleh dan Anis Sabirin bin Azmi sempat bertahlil di pondok Pusat Abjad Taqlibiah Wal-Sauthiah pada 26.5.2016 setibanya Penulis di Kota Bharu.

Skuad kami kemudiannya sempat melakukan ziarah di makam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kota, Kota Bharu pada 29.7.2016 iaitu makam guru-guru beliau yang turut dimakamkan di situ.


Penulis sempat menziarahi Makam Tok Guru.


 Makam Tok Guru.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 24 April 2014

Sihir Tuju: Pulau Kundor (Kota Bharu)


SIHIR TUJU

KOTA BHARU, KELANTAN: Pada 24.4.2014, kira-kira jam 10.30 malam kami dari Skuad Ghostbusters telah ke Pulau Kundor kerana memberikan bantuan kepada mangsa. Mangsa mendapat gangguan sihir tuju oleh pengamal dukun Jawa melalui seseorang yang berasa hasad dan irihati terhadap mangsa.

Skuad kami melakukan kaedah wasilah Tok Kenali dan pusaka wali iaitu Wirid Syeikh (Sultan Wali Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani), jabat, pandang rabitah dan wasilah serta kaedah melontar garam yang dicampurkan dengan tahi besi, paku dan arang. Ketika kaedah melontar dilakukan, salah seorang anggota skuad dapat melihat makhluk berjubah hitam sedang berdiri tegak di atas bumbung rumah mangsa. Namun, makhluk berjubah hitam berkenaan melompat lalu terus ghaib.

Bahan-bahan lain seperti air tawar digunakan untuk mandi dan garam yang selebihnya termasuk tahi besi digunakan untuk merenjis di tempat baring.

Skuad kami bertolak pulang jam 12.30 malam.

 



Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 27 November 2013

Bebola Cahaya Dari Langit


BEBOLA CAHAYA DARI LANGIT

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA 24.11.2013 lalu, Editor (Penulis) yang juga anggota ABJAD Kelantan: Skuad Ghostbusters telah melihat suatu kejadian yang dianggap luar biasa berlaku di waktu tengah hari dan awal petang apabila secara tiba-tiba “bebola cahaya” muncul dari langit.

Kejadian yang dapat disaksikan itu berlaku kira-kira jam 1.30 petang ketika Editor (Penulis) keluar dari CIMB Bank Berhad, Kubang Kerian. Bebola cahaya itu yang kelihatan di tengahnya berwarna putih susu dan bulatannya dikelilingi warna merah darah bergerak dari arah kanan ke kiri yang kemudiannya melantun ke arah penglihatan (pandangan) Penulis kemudiannya hilang (ghaib) di tengah-tengah laluan di situ.

Bebola cahaya itu yang berukuran sebesar bola dapat dilihat dalam tempoh masa 5 hingga 6 saat sebelum hilang dari pandangan. Ketika kejadian kemunculan bebola cahaya itu, keadaan langit di kawasan terbabit agak cerah berwarna kebiruan (biru muda).

Manakala pada 26.11.2013 pula, Penulis memaklumkan kepada isteri tentang kemunculan cahaya itu. Beliau juga dapat menyaksikan sendiri kemunculan bebola cahaya itu ketika berada di Jalan Telipot dekat sini, tetapi ukurannya agak lebih besar dari yang disaksikan oleh Penulis. Sehingga kini, tidak dapat dipastikan apakah tanda dan petanda tentang kemunculan “bebola cahaya” dari arah langit itu.

Arah pergerakan bebola cahaya sebagaimana yang disaksikan oleh anggota Skuad Ghostbusters.

Foto ini dirakam menggunakan telefon bimbit.

Tulisan dan Foto:
 AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 7 November 2013

Toyol: Kg.Pauh Panji (Kota Bharu)



TOYOL: WANG TUNAI LESAP

KOTA BHARU, KELANTAN: PADA 7.11.2013, dua anggota Skuad Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz) dan Azmi Mohd. Salleh telah ke rumah mangsa yang terletak di Kampung Pauh Panji dekat sini. Kami bertolak jam 9.30 malam ke rumah berkenaan dan kami dimaklumkan tentang hal ini oleh mangsa yang mendapati wang miliknya itu sentiasa lesap akibat perbuatan makhluk halus terbabit dikenali "toyol". Pada mulanya, mangsa tidak ingin mempercayai hakikat sedemikian, walaupun pembantu rumahnya pernah melihat makhluk berkenaan yang dilaporkan berwarna "hijau".

Setelah merasai pengalaman wang tunai milik kedua-dua pasangan berkenaan turut lesap beberapa kali, beliau mulai mempercayai bahawa wang yang disimpan dengan baik dan sempurna tidak mungkin akan hilang jika tiada makhluk lain yang mencurinya secara "ghaib". Andaian berkenaan diperkuatkan lagi apabila pembantu rumahnya sendiri yang melihat makhluk tersebut secara lebih dekat dan jelas.

Setibanya unit kami ke rumah mangsa, seorang unit kami melakukan kaedah Warisan Pusaka Tok Kenali iaitu wirid dan jabat. Manakala Penulis sendiri berusaha untuk mengesan kehadiran toyol terbabit. Akhirnya unit kami mendapati, memang seekor toyol masih ada dalam kawasan rumah di mana ketika itu sedang berada berhampiran pintu pagar rumah yang terbuka yang juga berdekatan dengan pokok mangga rimbun dan rendang. Aura dan gelombang makhluk yang menjadikan kawasan itu sebagai tempatnya bertenggek memang agak kuat. Makhluk itu boleh bertukar warna dari warna kuning langsat, kelabu dan berubah menjadi hijau dalam keadaan tubuh dan wajah yang kusam. Namun, kelihatannya agak sebahagian anggota sahaja iaitu dari kepala dan dadanya sahaja, manakala anggota lain tidak kelihatan.

Selepas kaedah wirid dan jabat itu, salah seorang unit kami menggunakan kaedah kedua iaitu kaedah melempar/menabur garam yang telah diisi dengan wirid, jabat dan doa di tempat-tempat yang menjadi laluan makhluk halus terbabit. Makhluk itu kemudiannya berlari keluar ke arah rumpun pisang yang berada di luar rumah terbabit. Selang beberapa ketika kemudian, kami dapati makhluk itu masuk semula, sehinggalah akhirnya, kami dapat merakam kemunculan makhluk tersebut di atas sebatang pokok manggis. Mungkin makhluk berkenaan telah terkepung atau terkena percikan garam itu sehingga tidak berkesempatan untuk berlari ke arah lain, hanya yang nampak ialah pokok manggis itu untuk menyelamatkan diri.

Setelah kaedah berkenaan selesai dengan sempurna, unit kami berangkat pulang jam 11.45 malam.

Anggota kami dapat mengesan, toyol itu berada dan menghuni di kawasan pagar dan pokok mangga yang rimbun dan rendang ini dengan keadaan tubuh dan wajah yang kusam.

Anggota kami membuat lontaran garam ka kawasan laluan makhluk berkepala botak itu.

Toyol itu berlari ke arah pokok pisang di luar rumah.

Anggota kami kemudian melontar garam beberapa kali ke arah laluan dalam rumah ini.

Kelihatan objek makhluk halus (dalam bulatan merah) yang melarikan diri ke atas sebatang pokok manggis. Foto dirakam menggunakan "lampu kamera" pada jam 10.55 malam.

Makluman:
Lima keping foto di sini menggunakan "infra-merah", kecuali foto akhir menggunakan "lampu kamera".

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 5 September 2013

Gangguan Saka: Taman Uda Murni (Kota Bharu)


GANGGUAN SAKA

KOTA BHARU, KELANTANPADA 5.9.2013, Skuad Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz) dan Azmi Mohd. Salleh telah ke rumah mangsa di Taman Uda Murni. Kali pertama unit kami ke rumah mangsa adalah pada 2.9.2013 untuk melihat keadaan rumah dan bentuk gangguan sebagaimana yang dilaporkan oleh keluarga mangsa. Pada ketika itu, unit kami telah melakukan kaedah wirid syeikh dan telah mengenal pasti punca sehingga mangsa diganggu sedemikian rupa dan unit kami telah membuat "air penawar/air tawar" untuk diminum oleh mangsa.

Pada 5.9.2013 pula, mulai jam 10.05 malam unit kami meminta pihak keluarga mangsa menyediakan garam kasar, arang serta pulut hitam. Garam kasar yang dicampurkan dengan arang untuk kaedah melempar/tabur garam malah sedikit garam kasar itu juga digunakan sebagai mandian dan untuk diminum oleh mangsa. Manakala pulut hitam itu pula untuk digunakan kaedah pagar rumah (empat penjuru rumah). Kaedah ini dibuat melalui Wirid Syeikh (Sultan Wali As-Syeikh Muhyiddin Abd. Qader Al-Jailani), Wirid Hikmah, Jabat 14, Jabat Penimbul, Jabat Penggerak, Jabat Besi, Pandang Rabithah dan Wasilah serta doa sebagaimana yang unit kami pernah lakukan sebelum ini.

Setelah selesai melakukan kaedah wirid dan doa tersebut, unit kami dapat mengesan kehadiran "harimau" yang sedang menghulurkan kukunya ke arah kami. Di samping, kami juga dapat melihat belang harimau tersebut dan seekor burung besar (sayapnya berwarna biru tua dan tubuhnya berwarna merah tua). Harimau itu pula bermaksud hala.

Unit kami kemudiannya melakukan kaedah menanam pulut hitam yang telah diisi dengan wirid syeikh, jabat, pandang rabithah dan wasilah serta doa. Manakala kaedah melempar/menabur garam kasar yang telah dicampurkan dengan arang melalui kaedah yang sama untuk tujuan berkenaan.

Walau bagaimanapun, mangsa sebenarnya diganggu oleh saka dari keturunannya. Hal berkenaan perlu diselesaikan oleh mangsa dengan melakukan kaedah "peralih saka" berkenaan untuk tujuan menyelesaikan masalah yang dialaminya.

Unit kami kemudiannya beredar dari rumah tersebut kira-kira jam 12.00 malam.

Aziz Haji Daud sedang melakukan kaedah wirid syeikh, jabat, pandang rabithah dan wasilah dan doa.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 25 Ogos 2013

Toyol: Pasir Tumboh (Kota Bharu)


ANGKARA TOYOL

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA 25.8.2013, dua Skuad Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud dan Azmi Mohd. Salleh bergegas ke rumah mangsa di taman perumahan Pasir Tumboh dekat sini. Ini kerana, kami menerima makluman mangsa kehilangan wang tunai yang disimpan akibat dicuri oleh makhluk berkepala botak dikenali "toyol" selain pelbagai gangguan yang dialami oleh isterinya termasuk rumahnya sendiri.

Hal yang dianggap berlarutan ini dialami oleh mangsa selama tahun. Beliau telah mendapatkan khidmat rawatan seumpamanya dari seorang yang arif tentang makhluk ini, namun masalah kehilangan wang tunai semakin menjadi-jadi pula. Berikutan itu, mangsa mengundang Unit Ghostbusters kami dalam usaha untuk mengekang permasalahan berkenaan yang bukan sahaja disebabkan wangnya yang dicuri tetapi gangguan turut dialami oleh isterinya.

Jam 9.50 malam, kami bertolak ke rumah mangsa. Sebelumnya, unit kami meminta mangsa menyediakan peralatan seperti sebiji buah kelapa muda, telur ayam kampung, paku, garam dan arang. Kelima-lima bahan ini digunakan untuk menangkap makhluk terbabit di samping menghalau makhluk ghaib tersebut daripada mengganggu rumah mangsa.

Setelah unit kami memasuki rumah mangsa, kami memulakan kaedah Warisan Pusaka Tok Kenali untuk mengesan keadaan rumah mangsa. Ketika kaedah yang kami lakukan itu, dengan tiba-tiba menjelma lembaga hitam (dikenali hantu raya menjelma sebagai haiwan), diikuti toyol itu dan selepas itu pocong di hadapan muka pintu rumah mangsa yang menghadap Kiblat.

Tujuan kami untuk menangkap toyol, tetapi pocong itu pula yang mengganggu. Kami kemudiannya menjemput kedua-duanya masuk. Namun, secara tiba-tiba pocong itu ghaib. Manakala toyol itu pula membatalkan niatnya untuk masuk ke rumah mangsa ketika kaedah yang kami jalankan. Kami turut mengesan pemilik toyol itu apabila kami melihat, toyol itu dipanggil balik oleh tuannya yang merupakan seorang perempuan. Kami tidak dapat merakam foto ketika kejadian itu disebabkan kami menumpukan perhatian ketika kaedah itu dijalankan.

Selepas selesai melakukan kaedah wirid syeikh, kami melakukan kaedah kedua itu melempar garam yang dicampur dengan arang. Sementara sebiji buah kelapa muda bersama sebiji telur ayam kampung yang kami pecahkan di dalam kelapa itu telah berjaya menangkap lembaga hitam tersebut (menjelma dalam bentuk kecil). Kami kemudiannya membungkusnya dengan kain kuning setelah memacakkan paku kepada buah kelapa itu.

Setelah segalanya selesai, unit kami bertolak pulang jam 12.00 malam.





Foto ini dirakam di Kampung Kubang Keranji, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan pada 25.8.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 23 Mei 2013

Mangsa Makhluk Halus: Kg.Lemak (Kota Bharu)


MANGSA MAKHLUK HALUS

KOTA BHARU, KELANTAN: PADA 23.5.2013, dua anggota Skuad Ghostbusters yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz) dan Azmi Mohd. Salleh ke rumah mangsa gangguan makhluk halus di Kampung Lemak dekat sini. Tujuan unit kami ke tempat terbabit adalah untuk melihat dan memantau kejadian berkenaan berikutan mangsa mendakwa keluarganya khususnya isterinya sering diganggu makhluk ghaib itu beberapa kali.

Ketika unit kami tiba, kami tidak melihat sesuatu yang mencurigakan di kawasan laman rumah terbabit. Namun, apabila seorang anggota Skuad Ghostbusters, Aziz Haji Daud (Abang Aziz) mula melakukan aktiviti melempar/menabur garam yang telah diisi dengan wirid syeikh, didapati makhluk berkenaan mula menjelma di beberapa bahagian di kawasan rumah tersebut.

Penulis dapat melihat makhluk halus terbang di atas bumbung rumah mangsa. Manakala Aziz Haji Daud (Abang Aziz) melihatnya dengan jelas apabila seekor kucing hitam sedang bertenggek di atas sebuah kolam ikan keli yang terletak di penjuru rumah berkenaan. Hakikatnya, makhluk halus yang mendiami di kawasan rumah berkenaan sering mundar-mandir di kawasan rumah berkenaan.

Selepas aktiviti menabur/melempar garam itu, kami dapati keadaan laman rumah berkenaan agak baik dan tiada lagi tanda-tanda yang makhluk terbabit akan muncul berikutan garam yang digunakan itu boleh membakar tubuh makhluk terbabit.

Di atas bumbung rumah ini, Penulis melihat makhluk halus terbang melintasinya.



Abang Aziz ketika menabur/melempar garam di kawasan laluan makhluk halus di kawasan rumah terbabit.

Inilah kolam ikan keli, tempat menjelma seekor kucing hitam sedang bertenggek sebagaimana yang dilihat oleh Abang Aziz.

Lorong ini sering dilalui oleh makhlus halus di kawasan rumah itu.

Lorong di bahagian belakang rumah yang menjadi kegemaran makhluk tersebut bermain.

Foto infra-red: Kami syakki, inilah makhluk halus yang menjelma dalam jumlah yang ramai di sebelah kanan iaitu di bahagian hujung pagar berkenaan.

Foto ini dirakam di sebuah rumah di Kampung Lemak, Kota Bharu, Kelantan pada 23.5.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH