SKUAD GHOSTBUSTERS: Majalah Maya . Aktiviti . Foto/Video . Memulihkan Gangguan Makhluk Halus . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://abjad-kelantan.blogspot.com

Ahad, 7 April 2013

Tangkap Hantu Raya: Kg.Kor (Kota Bharu)


BAHANA MAKHLUK HALUS

KOTA BHARU, KELANTAN: PADA 6.4.2013 (malam), kami dari Skuad Ghostbusters yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh serta Anis Sabirin bin Azmi bergegas ke sebuah rumah di Kampung Kor dekat sini berikutan makluman daripada keluarga terbabit sejak seminggu yang lalu. Ketika unit kami memasuki perkarangan rumah terbabit jam 10.05 malam, kami dapat mengesan hawa panas yang begitu ketara untuk menunjukkan keluarga berkenaan mengalami gangguan makhluk terbabit selain disebabkan pengaruh saka.

Melalui kaedah Warisan Pusaka Tok Kenali, unit kami dapat mengesan kehadiran makhluk halus seperti langsuir, pocong, hantu raya (sejenis makhluk halus penjaga rumah) termasuk saka keturunan. Kami tidak dibenarkan untuk merakam foto di kawasan terbabit, namun foto yang dirakam secara "infra-red" berhampiran rumah terbabit memadai untuk dijadikan contoh kehadiran unit kami ke rumah berkenaan.

Kami meminta pihak keluarga terbabit menyediakan peralatan dan bahan-bahan seperti sebiji kelapa muda segar, sebiji telur ayam kampung, sedikit garam kasar, sebatang paku, sedikit arang serta secubit tanah tapak rumah. Selepas kaedah wirid, kami melakukan kaedah seterusnya dengan menebuk sebiji kelapa muda itu lalu dimasukkan isi telur ayam kampung yang telah dibuang kulitnya dengan diisi bersama secubit tanah tapak rumah. Tidak sampai satu minit, makhluk yang dikenali "hantu raya" memasuki lubang kelapa muda segar itu untuk memakan isi kandungan di dalamnya iaitu telur tadi.

Selepas mengetahui makhluk halus berkenaan diyakini berada sepenuhnya di dalam buah kelapa muda itu, kami kemudiannya menutupnya lalu memacakkan sebatang paku yang telah disediakan. Buah kelapa yang telah memerangkap makhluk halus "hantu raya" di dalamnya itu, kami bungkus dan dialirkan di sebatang sungai dekat Wakaf Stan.

Mangsa meminta unit kami menjelaskan tentang hakikat gangguan makhluk halus seperti langsuir, pocong sert hantu raya itu. Menurut hemat unit kami, lazimnya langsuir dan pocong tempat yang paling digemarinya ialah di tanah perkuburan. Salah satu sebab makhluk berkenaan berada di kawasan rumah mangsa berikutan semasa tanah yang ditimbun untuk tapak rumah ketika itu mungkin telah bercampur dengan sedikit tanah kubur. Manakala hantu raya itu pula, kami dapat mengesan di kawasan terbabit telah dijadikan sebagai tempat pemujaan selain tempat buangan saka. Hantu raya ini menganggap kawasan itu adalah kawasan laluan dan tempatnya bermain, hal ini dapat ditanggapkan makhluk berkenaan seolah-olah sebagai pengawal atau penjaga di kawasan yang dimaksudkan.

Kaedah menabur/melempar garam kasar yang dicampurkan dengan arang serta paku akan di laksanakan dalam masa terdekat beberapa hari lagi untuk tujuan menghalau makhluk halus yang masih menghuni di kawasan sawah padi yang telah dijadikan sebagai tapak rumah berkenaan.

Rumah mangsa berhampiran dengan lorong ini.

Bungkusan yang mengandungi makhluk halus (hantu raya).

Makhluk halus itu dialirkan di sebatang sungai.

Foto ini dirakam di Kampung Kor dekat sini pada 6.4.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum. saya mencari rawatan di sekitar Pasir Mas.sebelum ini saya ada terambil rokok dan makanan pemberian jiran, selepas itu saya terasa sakit dan banyak gangguan berlaku dibahagian dada,perut dan muka.
    Ini email saya : tubuhsatu@gmail.com
    Semoga Allah membalas kebaikkan tuan dengan kebaikkan yang banyak.

    BalasPadam