SKUAD GHOSTBUSTERS: Majalah Maya . Aktiviti . Foto/Video . Memulihkan Gangguan Makhluk Halus . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://abjad-kelantan.blogspot.com

Alam Rohani

SAKA

Takrif Saka
MAKNA saka ialah "khodam jin". Khodam jin ini pula ada dua jenis iaitu jin Islam dan jin kafir". Saka sebenarnya ialah makhluk jin yang wujud dalam aliran darah manusia.

Walaupun dikatakan jin Islam yang sentiasa beribadat dan mendekatkan diri dengan Allah S.W.T,  namun setiap yang bernama jin sememangnya tidak boleh dipercayai. Ini kerana, kalau sudah dikatakan jin sifatnya memang jelas hanya ingin memperdayakan dan menyesatkan selain mengenakan pelbagai syarat terhadap manusia yang mengamalkan sesuatu ilmu, apatah lagi jika pengamal ilmu berkenaan inginkan ilmu-ilmu yang dianggap hebat seperti keramat dan kebal (kalis dan tidak lut senjata).

Walaupun sembahyang itu telah difardukan kepada manusia, tetapi oleh kerana keinginan yang meluap-luap di kalangan pengamal ilmu-ilmu hebat tadi, manusia sanggup mengikut telunjuk daripada makhluk jin berkenaan supaya turut beribadat untuk mereka pula. Situasi ini menjadikan seolah-olah jin itu pula sebagai tuan yang berkuasa semata-mata kegelojohan manusia untuk mendapatkan sesuatu yang dihajatkan. Padahal, manusia pada hakikatnya hanya perlu menerima perintah dan melakukan ibadat serta suruhan hanya semata-mata kepada Allah S.W.T  sahaja.

Perbuatan jin memperalatkan manusia ini sebenarnya merupakan satu muslihat untuk mengaut pahala ibadat dari manusia yang berhajatkannya. Dibimbangi jin itu memperolehi pahala ibadat yang banyak, sebaliknya manusia yang diperalatkan itu dalam keadaan menemui Allah tidak mempunyai markah pahala langsung. Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Jin yang paling alim juga mempunyai tuan guru dan ulamak. Jika dibandingkan dengan manusia, paling jahat adalah jin bagi manusia yang baik.

Ini bermakna, jin bersifat mudah menerima apa sahaja perintah manusia iaitu jika seorang manusia memerintahkannya untuk menganiaya atau merosakkan individu tertentu, jin tersebut akan melakukan kerja dan arahan itu untuk menunjukkan makhluk jin itu amat baik terhadap manusia yang mengarahkannya sebagai upah di atas sikap manusia yang suka beramal berdasarkan arahan jin seperti puasa sunat dan solat fardu untuk tujuan mendapatkan ilmu-ilmu yang hebat itu.

Dalam soal ini, apabila jin yang diupah untuk menggigit dan menganiaya manusia (mangsa) yang menjadi mangsa gigitan dan penganiayaan itu datang untuk mendapatkan rawatan, pihak lain tidak akan dapat menyembuhkannya sekalipun ia adalah seorang doktor pakar yang ternyata tidak dapat mengesan jenis-jenis penyakitnya, apatah lagi bomoh-bomoh lain yang dianggap hebat. Sebaliknya, penyakitnya akan dapat disembuhkan apabila mendapatkan rawatan dari pihak yang mengarahkan jin tersebut untuk menganiaya mangsa berkenaan. Berikutan itu, apabila bomoh berkenaan mengarahkan jin tersebut keluar dari tubuh mangsa, jin yang sedang menghuni dalam tubuh mangsa pastinya akan keluar dan selepas itu penyakitnya sembuh, yang sebenarnya berpunca daripada gangguan jin-jin berkenaan. Dalam konteks ini, individu yang beramal untuk tujuan berkenaan akan dipandang mulia dan hebat kerana beliau dianggap seorang sahaja yang berjaya merawat mangsa yang dirasuk jin itu. Hasilnya individu yang beramal dengan ilmu-ilmu itu akan semakin angkuh, riak dan takbur.

Manakala jin bukan Islam (kafir) pula, atas tanggapan orang ramai yang menamakannya sebagai hantu raya, pelesit, hala, pontianak, langsuir, anak kerak dan sebagainya. Jin jenis ini juga turut mengenakan pelbagai syarat kepada tuannya supaya menjamunya dengan makanan yang banyak dan lazat seperti ayam panggang, pulut kuning, telur dadar, bertih atau buah-buahan seperti limau dan epal yang diletakkan di tepi-tepi kampung, tebing sungai, busut anai-anai, pohon-pohon dianggap berpuaka dan sebagainya.

Hantu raya banyak digunakan dalam permainan-permainan rakyat seperti wayang kulit dan main puteri terutamanya bagi watak hanuman kera putih dari spesis beruk. Justeru, hanuman kera putih ini adalah makhluk yang gagah, jadi sesuailah jin kafir menjelma dalam rupa beruk, kera atau monyet. Orang yang memelihara hantu raya misalnya bertujuan untuk mengawal rumah kerana kegagahannya.

Jenis-jenis Saka
Terdapat tiga jenis saka yang menjadi amalan masyarakat Melayu sejak dahulu sehingga hari ini seperti saka amalan, saka dari pembawa saka dan saka keturunan.

Saka amalan ialah individu yang memperolehinya dengan cara menuntut ilmu tanpa melalui guru. Dalam hal ini, individu berkenaan mempelajari sesuatu ilmu yang dihajatinya melalui buku dan kitab-kitab lalu beramal dengannya tanpa mendapat tunjukajar, bimbingan dan ijazah dari seorang guru yang bertauliah. Dengan itu, individu yang mengamalkan ilmu dengan hanya membaca buku-buku dan kitab-kitab ini sebenarnya telah digantikan oleh makhluk jin sebagai guru mereka. Jadi amat jelas bahawa, saka ini hanya bertenggek pada orang-orang yang alim, warak dan suka menuntut ilmu seperti ilmu-ilmu kebal dan hebat itu tadi.Selain itu, terdapat juga pengamal-pengamal ilmu yang memperolehi saka dari guru-guru mereka yang ditakrifkan sebagai pembawa saka lalu masuk ke dalam tubuh pelajar-pelajar mereka.

Saka diwarisi oleh orang-orang Melayu walaupun generasi kini dikatakan tidak beramal dengan ilmu-ilmu yang hebat ialah "saka keturunan" atau disebut juga saka peliharaan. Ini kerana, apabila generasi terdahulu seperti nenek moyang kita yang kemudiannya diwarisi oleh orang-orang tua kita (ibu dan bapa) hari ini yang mempunyai saka, akhirnya akan diwarisi pula sehingga anak, cucu dan cicit yang terakhir. Keadaan ini disebabkan, selagi kita mempunyai pertalian darah dengan keturunan kita tanpa mengira berapa lapis generasi pun, kita akan tetap menerima saka tersebut sama ada mahu ataupun tidak.

Generasi terdahulu seperti moyang lelaki kita banyak menggunakan saka peliharaan ini di mana dari makhluk jin ini akan menyamar atau menyerupai haiwan seperti burung yang besarnya agak luar biasa, harimau, hala dan hantu raya (dapat menyerupai tuan yang memeliharanya).

Manakala kalau perempuan pula suka memelihara hala, pelesit, langsuir dan penanggal. Maknanya, tujuan makhluk berkenaan dipelihara adalah untuk mengawal rumah dan dusun buah-buahan dari dicuri atau dicerobohi oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, jin itulah yang menyerupai tuannya. Kadang-kadang tuannya tidak ada di rumah, sebaliknya apabila penceroboh datang ke rumah yang akan menjadi mangsa, penceroboh akan dapat melihat tuan rumah tidak ke mana-mana sedangkan makhluk berkenaan yang menyamar sebagai tuan rumah tersebut. Dengan demikian, rumah yang akan menjadi mangsa itu akhirnya terselamat dari dipecah masuk atau dirompak.

Tanda-tanda Mendapat Saka
Tanda-tanda saka memang banyak. Individu yang tubuhnya terkena saka akan berasa sakit di bahagian tulang bahu (tulang kipas), tengkuk berasa berat seperti ditindih sesuatu, cepat marah, menjadi pelupa, pening dan sakit kepala yang amat sangat, dibenci jiran-jiran tetangga, apabila demam bahagian muka sahaja yang terasa panas sebaliknya tubuh berasa sejuk, terasa kebas hujung jari kaki, sakit di bahagian tulang belakang dan pinggang, lutut seperti digigit, suka menangguhkan kerja, terasa malas menziarahi walaupun mendengar berita ada orang sakit dan meninggal, sewaktu tidur malam mudah terkejut, sentiasa berdebar, tubuh terasa kejang, lenguh dan lumpuh, soal makan tiada had iaitu makan terlalu banyak tetapi tidak berasa kenyang, telinga berdengung serta telinga kurang mendengar hingga tahap pekak.

Ada sesetengah individu yang turut mendakwa bahawa setiap kali membaca Al-Quran dan beramal, tubuh mereka seperti kepanasan. Dalam hal ini, membaca Al-Quran tidak pernah menjadikan tubuh manusia menjadi panas. Allah S.W.T dan Rasul-Nya sendiri menggalakkan setiap umat Islam memperbanyakkan membaca Al-Quran dengan ikhlas hati kerana Al-Quran sebenarnya sejuk iaitu sebagai penawar terutamanya kepada segala jenis penyakit dan gangguan makhluk halus. Tetapi apabila membaca Al-Quran dengan tiba-tiba tubuh menjadi panas adalah disebabkan individu itu sebenarnya dihuni saka di mana tubuh individu berkenaan telah dijadikan rumah jin sebagai tempat untuk makhluk berkenaan menyebarkan dakyah, memperdayakan dan menyesatkan mangsa.

Sebaik-baik langkah untuk memagari atau menyelamatkan barangan milik kita seperti harta benda, rumah, tanah termasuk diri sendiri dan keluarga ialah dengan membaca ayat Qursi, ayat tiga Qul, bismillah seribu dan ayat seribu dinar.

Dalam hal ini, selain saka tidak wujud di zaman Nabi S.A.W  saka juga tidak pernah dikenali di zaman sahabat-sahabat Baginda S.A.W.  Misalnya Sayyidina Umar Al-Khattab dan Sayyidina Ali bin Abi Thalib juga lut senjata dan mereka meninggal dunia sebagaimana kebanyakan manusia yang lainnya iaitu "setiap yang hidup akan merasai kematian". Tetapi apabila dilihat tubuh ditikam, dibunuh, ditembak atau dipotong tanpa mendapat apa-apa kesan atau tidak lut senjata, ini menunjukkan ia sebenarnya ditepis oleh makhluk jin yang sentiasa bersama individu yang mengamalkan ilmu-ilmu hebat itu.

Justeru, jelaslah bahawa amalan dari ilmu-ilmu yang tidak bersandarkan kepada guru-guru yang bertauliah serta amalan yang menyimpang dari landasan sebenar akan menyebabkan seseorang pengamal ilmu itu tidak akan tahu hujung dan pangkalnya akan mudah mewarisi saka. Ingatlah, saka boleh meranap dan melenyapkan segala pahala amal ibadat yang dikerjakan berpuluh-puluh tahun lamanya yang akhirnya menjadi rugi dan sia-sia.

Gangguan Akibat Saka
Bahana, gangguan dan gejala saka boleh memporak-perandakan kerjaya, keluarga dan kehidupan mangsa. Beberapa kejadian yang dianggap tidak masuk akal seperti perkelahian dan pembunuhan yang berlaku sejak akhir-akhir ini diikuti masalah pesakit mental adalah berpunca dari gangguan saka tersebut. Tuduh-menuduh, benci-membenci dan sengketa di antara ahli dan kerabat dalam keluarga, rakan memfitnah dan tidak berpuas hati dengan rakan sendiri adalah berpunca daripada gangguan saka berkenaan, namun ramai di kalangan kita yang tidak menyedari mereka dan ahli keluarga mereka diganggu saka berkenaan.

Saka jika tidak dinyahkan menurut kaedahnya tidak akan berjaya. Saka berkenaan akan kembali kepada kaum kerabat mereka disebabkan pertalian darah keturunan itu. Justeru, sebelum amalan yang dikerjakan menjadi sia-sia dan pulang menemui Allah dalam keadaan terhina, bersegeralah untuk "buang saka" itu.

14 Tempat Pada dan Dalam Tubuh Manusia Digemari Jin dan Syaitan Untuk Menghuni:01. Ulu hati
02. Siku kanan
03. Siku kiri
04. Lutut kanan
05. Lutut kiri
06. Belakang kepala (umbuk punai)
07. Hujung salbi
08. Urat leher (bahagian belakang)
09. Hujung lidah
10. Lubang hidung kanan
11. Lubang hidung kiri
12. Telinga kanan
13. Telinga kiri
14. Pusat
 
PROSES BUANG SAKA
(Alat / Bahan / Perkakasan Buang Saka)


1. Peralatan Kena Beli
  • Kain kuning kosong (2 meter seorang)
  • Buah kundur besar (1 biji seorang)
  • Telur ayam (sebaiknya telur ayam kampung - 1 biji seorang)
  • Jarum jahit guni (7 batang seorang)
  • Jarum meniti (jarum kecil - sekotak seorang) 

2. Peralatan Dari Tubuh
  • Daki
  • Kuku (tangan dan kaki)
  • Sekalian bulu (seurat sahaja)
  • Tahi telinga (sedikit sahaja - guna kapas)
  • Tahi hidung (sedikit sahaja - guna kapas)
  • Darah (di jari manis - sedikit sahaja - guna kapas)
  • Secebis kain yang dipakai harian Bapa dan Ibu.

3. Peralatan Rumah/Tempat Tinggal
  • Tanah tapak rumah yang diduduki sekarang (sebesar ibu jari)
  • Bata (sedikit sahaja)
  • Dinding batu (sedikit sahaja)
  • Pintu (sedikit sahaja)

4. Peralatan Bagi Orang Tua
  • Tanah pusara datuk dan nenek yang telah meninggal dunia.

Majlis Buang Saka akan diadakan di rumah peserta dan bahan serta peralatan ini akan digunakan dalam majlis tersebut. 

Saka: Khodam Jin

Terdapat tiga jenis saka seperti Saka Keturunan, Saka Ilmu dan Saka Guru. Kira-kira 90 hingga 95 peratus saka hanya dialami oleh umat-umat Islam sahaja, namun ramai yang menafikannya dan tidak menyedarinya. Ketahuilah tentang saka, kerana bahana saka boleh memporak-perandakan kerjaya, keluarga dan kehidupan anda. Beberapa kejadian yang dianggap tidak masuk akal seperti perkelahian dan pembunuhan yang berlaku sejak akhir-akhir ini diikuti masalah pesakit mental adalah berpunca dari gangguan saka tersebut.

Saka lebih dekat bagi golongan berilmu dan pengamalannya yang hanya didasarkan kepada buku dan kitab tanpa merujuk kepada guru. Ambil tindakan segera, buanglah saka.

**************************************************