SKUAD GHOSTBUSTERS: Majalah Maya . Aktiviti . Foto/Video . Memulihkan Gangguan Makhluk Halus . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://abjad-kelantan.blogspot.com

Rabu, 27 November 2013

Bebola Cahaya Dari Langit


BEBOLA CAHAYA DARI LANGIT

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA 24.11.2013 lalu, Editor (Penulis) yang juga anggota ABJAD Kelantan: Skuad Ghostbusters telah melihat suatu kejadian yang dianggap luar biasa berlaku di waktu tengah hari dan awal petang apabila secara tiba-tiba “bebola cahaya” muncul dari langit.

Kejadian yang dapat disaksikan itu berlaku kira-kira jam 1.30 petang ketika Editor (Penulis) keluar dari CIMB Bank Berhad, Kubang Kerian. Bebola cahaya itu yang kelihatan di tengahnya berwarna putih susu dan bulatannya dikelilingi warna merah darah bergerak dari arah kanan ke kiri yang kemudiannya melantun ke arah penglihatan (pandangan) Penulis kemudiannya hilang (ghaib) di tengah-tengah laluan di situ.

Bebola cahaya itu yang berukuran sebesar bola dapat dilihat dalam tempoh masa 5 hingga 6 saat sebelum hilang dari pandangan. Ketika kejadian kemunculan bebola cahaya itu, keadaan langit di kawasan terbabit agak cerah berwarna kebiruan (biru muda).

Manakala pada 26.11.2013 pula, Penulis memaklumkan kepada isteri tentang kemunculan cahaya itu. Beliau juga dapat menyaksikan sendiri kemunculan bebola cahaya itu ketika berada di Jalan Telipot dekat sini, tetapi ukurannya agak lebih besar dari yang disaksikan oleh Penulis. Sehingga kini, tidak dapat dipastikan apakah tanda dan petanda tentang kemunculan “bebola cahaya” dari arah langit itu.

Arah pergerakan bebola cahaya sebagaimana yang disaksikan oleh anggota Skuad Ghostbusters.

Foto ini dirakam menggunakan telefon bimbit.

Tulisan dan Foto:
 AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 7 November 2013

Toyol: Kg.Pauh Panji (Kota Bharu)



TOYOL: WANG TUNAI LESAP

KOTA BHARU, KELANTAN: PADA 7.11.2013, dua anggota Skuad Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz) dan Azmi Mohd. Salleh telah ke rumah mangsa yang terletak di Kampung Pauh Panji dekat sini. Kami bertolak jam 9.30 malam ke rumah berkenaan dan kami dimaklumkan tentang hal ini oleh mangsa yang mendapati wang miliknya itu sentiasa lesap akibat perbuatan makhluk halus terbabit dikenali "toyol". Pada mulanya, mangsa tidak ingin mempercayai hakikat sedemikian, walaupun pembantu rumahnya pernah melihat makhluk berkenaan yang dilaporkan berwarna "hijau".

Setelah merasai pengalaman wang tunai milik kedua-dua pasangan berkenaan turut lesap beberapa kali, beliau mulai mempercayai bahawa wang yang disimpan dengan baik dan sempurna tidak mungkin akan hilang jika tiada makhluk lain yang mencurinya secara "ghaib". Andaian berkenaan diperkuatkan lagi apabila pembantu rumahnya sendiri yang melihat makhluk tersebut secara lebih dekat dan jelas.

Setibanya unit kami ke rumah mangsa, seorang unit kami melakukan kaedah Warisan Pusaka Tok Kenali iaitu wirid dan jabat. Manakala Penulis sendiri berusaha untuk mengesan kehadiran toyol terbabit. Akhirnya unit kami mendapati, memang seekor toyol masih ada dalam kawasan rumah di mana ketika itu sedang berada berhampiran pintu pagar rumah yang terbuka yang juga berdekatan dengan pokok mangga rimbun dan rendang. Aura dan gelombang makhluk yang menjadikan kawasan itu sebagai tempatnya bertenggek memang agak kuat. Makhluk itu boleh bertukar warna dari warna kuning langsat, kelabu dan berubah menjadi hijau dalam keadaan tubuh dan wajah yang kusam. Namun, kelihatannya agak sebahagian anggota sahaja iaitu dari kepala dan dadanya sahaja, manakala anggota lain tidak kelihatan.

Selepas kaedah wirid dan jabat itu, salah seorang unit kami menggunakan kaedah kedua iaitu kaedah melempar/menabur garam yang telah diisi dengan wirid, jabat dan doa di tempat-tempat yang menjadi laluan makhluk halus terbabit. Makhluk itu kemudiannya berlari keluar ke arah rumpun pisang yang berada di luar rumah terbabit. Selang beberapa ketika kemudian, kami dapati makhluk itu masuk semula, sehinggalah akhirnya, kami dapat merakam kemunculan makhluk tersebut di atas sebatang pokok manggis. Mungkin makhluk berkenaan telah terkepung atau terkena percikan garam itu sehingga tidak berkesempatan untuk berlari ke arah lain, hanya yang nampak ialah pokok manggis itu untuk menyelamatkan diri.

Setelah kaedah berkenaan selesai dengan sempurna, unit kami berangkat pulang jam 11.45 malam.

Anggota kami dapat mengesan, toyol itu berada dan menghuni di kawasan pagar dan pokok mangga yang rimbun dan rendang ini dengan keadaan tubuh dan wajah yang kusam.

Anggota kami membuat lontaran garam ka kawasan laluan makhluk berkepala botak itu.

Toyol itu berlari ke arah pokok pisang di luar rumah.

Anggota kami kemudian melontar garam beberapa kali ke arah laluan dalam rumah ini.

Kelihatan objek makhluk halus (dalam bulatan merah) yang melarikan diri ke atas sebatang pokok manggis. Foto dirakam menggunakan "lampu kamera" pada jam 10.55 malam.

Makluman:
Lima keping foto di sini menggunakan "infra-merah", kecuali foto akhir menggunakan "lampu kamera".

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 5 September 2013

Gangguan Saka: Taman Uda Murni (Kota Bharu)


GANGGUAN SAKA

KOTA BHARU, KELANTANPADA 5.9.2013, Skuad Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz) dan Azmi Mohd. Salleh telah ke rumah mangsa di Taman Uda Murni. Kali pertama unit kami ke rumah mangsa adalah pada 2.9.2013 untuk melihat keadaan rumah dan bentuk gangguan sebagaimana yang dilaporkan oleh keluarga mangsa. Pada ketika itu, unit kami telah melakukan kaedah wirid syeikh dan telah mengenal pasti punca sehingga mangsa diganggu sedemikian rupa dan unit kami telah membuat "air penawar/air tawar" untuk diminum oleh mangsa.

Pada 5.9.2013 pula, mulai jam 10.05 malam unit kami meminta pihak keluarga mangsa menyediakan garam kasar, arang serta pulut hitam. Garam kasar yang dicampurkan dengan arang untuk kaedah melempar/tabur garam malah sedikit garam kasar itu juga digunakan sebagai mandian dan untuk diminum oleh mangsa. Manakala pulut hitam itu pula untuk digunakan kaedah pagar rumah (empat penjuru rumah). Kaedah ini dibuat melalui Wirid Syeikh (Sultan Wali As-Syeikh Muhyiddin Abd. Qader Al-Jailani), Wirid Hikmah, Jabat 14, Jabat Penimbul, Jabat Penggerak, Jabat Besi, Pandang Rabithah dan Wasilah serta doa sebagaimana yang unit kami pernah lakukan sebelum ini.

Setelah selesai melakukan kaedah wirid dan doa tersebut, unit kami dapat mengesan kehadiran "harimau" yang sedang menghulurkan kukunya ke arah kami. Di samping, kami juga dapat melihat belang harimau tersebut dan seekor burung besar (sayapnya berwarna biru tua dan tubuhnya berwarna merah tua). Harimau itu pula bermaksud hala.

Unit kami kemudiannya melakukan kaedah menanam pulut hitam yang telah diisi dengan wirid syeikh, jabat, pandang rabithah dan wasilah serta doa. Manakala kaedah melempar/menabur garam kasar yang telah dicampurkan dengan arang melalui kaedah yang sama untuk tujuan berkenaan.

Walau bagaimanapun, mangsa sebenarnya diganggu oleh saka dari keturunannya. Hal berkenaan perlu diselesaikan oleh mangsa dengan melakukan kaedah "peralih saka" berkenaan untuk tujuan menyelesaikan masalah yang dialaminya.

Unit kami kemudiannya beredar dari rumah tersebut kira-kira jam 12.00 malam.

Aziz Haji Daud sedang melakukan kaedah wirid syeikh, jabat, pandang rabithah dan wasilah dan doa.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 25 Ogos 2013

Toyol: Pasir Tumboh (Kota Bharu)


ANGKARA TOYOL

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA 25.8.2013, dua Skuad Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud dan Azmi Mohd. Salleh bergegas ke rumah mangsa di taman perumahan Pasir Tumboh dekat sini. Ini kerana, kami menerima makluman mangsa kehilangan wang tunai yang disimpan akibat dicuri oleh makhluk berkepala botak dikenali "toyol" selain pelbagai gangguan yang dialami oleh isterinya termasuk rumahnya sendiri.

Hal yang dianggap berlarutan ini dialami oleh mangsa selama tahun. Beliau telah mendapatkan khidmat rawatan seumpamanya dari seorang yang arif tentang makhluk ini, namun masalah kehilangan wang tunai semakin menjadi-jadi pula. Berikutan itu, mangsa mengundang Unit Ghostbusters kami dalam usaha untuk mengekang permasalahan berkenaan yang bukan sahaja disebabkan wangnya yang dicuri tetapi gangguan turut dialami oleh isterinya.

Jam 9.50 malam, kami bertolak ke rumah mangsa. Sebelumnya, unit kami meminta mangsa menyediakan peralatan seperti sebiji buah kelapa muda, telur ayam kampung, paku, garam dan arang. Kelima-lima bahan ini digunakan untuk menangkap makhluk terbabit di samping menghalau makhluk ghaib tersebut daripada mengganggu rumah mangsa.

Setelah unit kami memasuki rumah mangsa, kami memulakan kaedah Warisan Pusaka Tok Kenali untuk mengesan keadaan rumah mangsa. Ketika kaedah yang kami lakukan itu, dengan tiba-tiba menjelma lembaga hitam (dikenali hantu raya menjelma sebagai haiwan), diikuti toyol itu dan selepas itu pocong di hadapan muka pintu rumah mangsa yang menghadap Kiblat.

Tujuan kami untuk menangkap toyol, tetapi pocong itu pula yang mengganggu. Kami kemudiannya menjemput kedua-duanya masuk. Namun, secara tiba-tiba pocong itu ghaib. Manakala toyol itu pula membatalkan niatnya untuk masuk ke rumah mangsa ketika kaedah yang kami jalankan. Kami turut mengesan pemilik toyol itu apabila kami melihat, toyol itu dipanggil balik oleh tuannya yang merupakan seorang perempuan. Kami tidak dapat merakam foto ketika kejadian itu disebabkan kami menumpukan perhatian ketika kaedah itu dijalankan.

Selepas selesai melakukan kaedah wirid syeikh, kami melakukan kaedah kedua itu melempar garam yang dicampur dengan arang. Sementara sebiji buah kelapa muda bersama sebiji telur ayam kampung yang kami pecahkan di dalam kelapa itu telah berjaya menangkap lembaga hitam tersebut (menjelma dalam bentuk kecil). Kami kemudiannya membungkusnya dengan kain kuning setelah memacakkan paku kepada buah kelapa itu.

Setelah segalanya selesai, unit kami bertolak pulang jam 12.00 malam.





Foto ini dirakam di Kampung Kubang Keranji, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan pada 25.8.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 23 Mei 2013

Mangsa Makhluk Halus: Kg.Lemak (Kota Bharu)


MANGSA MAKHLUK HALUS

KOTA BHARU, KELANTAN: PADA 23.5.2013, dua anggota Skuad Ghostbusters yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz) dan Azmi Mohd. Salleh ke rumah mangsa gangguan makhluk halus di Kampung Lemak dekat sini. Tujuan unit kami ke tempat terbabit adalah untuk melihat dan memantau kejadian berkenaan berikutan mangsa mendakwa keluarganya khususnya isterinya sering diganggu makhluk ghaib itu beberapa kali.

Ketika unit kami tiba, kami tidak melihat sesuatu yang mencurigakan di kawasan laman rumah terbabit. Namun, apabila seorang anggota Skuad Ghostbusters, Aziz Haji Daud (Abang Aziz) mula melakukan aktiviti melempar/menabur garam yang telah diisi dengan wirid syeikh, didapati makhluk berkenaan mula menjelma di beberapa bahagian di kawasan rumah tersebut.

Penulis dapat melihat makhluk halus terbang di atas bumbung rumah mangsa. Manakala Aziz Haji Daud (Abang Aziz) melihatnya dengan jelas apabila seekor kucing hitam sedang bertenggek di atas sebuah kolam ikan keli yang terletak di penjuru rumah berkenaan. Hakikatnya, makhluk halus yang mendiami di kawasan rumah berkenaan sering mundar-mandir di kawasan rumah berkenaan.

Selepas aktiviti menabur/melempar garam itu, kami dapati keadaan laman rumah berkenaan agak baik dan tiada lagi tanda-tanda yang makhluk terbabit akan muncul berikutan garam yang digunakan itu boleh membakar tubuh makhluk terbabit.

Di atas bumbung rumah ini, Penulis melihat makhluk halus terbang melintasinya.



Abang Aziz ketika menabur/melempar garam di kawasan laluan makhluk halus di kawasan rumah terbabit.

Inilah kolam ikan keli, tempat menjelma seekor kucing hitam sedang bertenggek sebagaimana yang dilihat oleh Abang Aziz.

Lorong ini sering dilalui oleh makhlus halus di kawasan rumah itu.

Lorong di bahagian belakang rumah yang menjadi kegemaran makhluk tersebut bermain.

Foto infra-red: Kami syakki, inilah makhluk halus yang menjelma dalam jumlah yang ramai di sebelah kanan iaitu di bahagian hujung pagar berkenaan.

Foto ini dirakam di sebuah rumah di Kampung Lemak, Kota Bharu, Kelantan pada 23.5.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 2 Mei 2013

Nahas Luar Biasa (Kota Bharu)


NAHAS LUAR BIASA

KOTA BHARU, KELANTAN:  LAZIMNYA apabila berlaku kejadian nahas jalan raya (kemalangan) yang melibatkan nahas ngeri, mangsanya pasti menemui ajalnya. Walau bagaimanapun, atas ketentuan Allah S.W.T yang jiwa manusia sentiasa berada di dalam perhatian-Nya, ada mangsa nahas dapat meneruskan kehidupan yang sempurna tanpa mengalami kecacatan anggota. Mungkinkah kelebihan yang diberikan Allah kepada mangsa di atas jiwa dan rohaninya yang suci, adalah juga di dalam pengetahuan Allah Yang Maha Kaya.

Membicarakan tentang nahas berkenaan, suatu kejadian nahas ngeri melibatkan pertembungan dua buah motosikal melibatkan anak keempat Penulis yang merupakan anggota Skuad Ghostbusters (Abjad Kelantan), Anis Sabirin bin Azmi dengan seorang mangsa lain yang merupakan seorang pelajar salah sebuah sekolah tahfiz. Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.00 pagi pada 30.4.2013 itu adalah kejadian nahas pelik dan luar biasa dialami oleh anak keempat Penulis itu.

Menurut Anis, sebelum kejadian nahas tersebut pada malam 30.4.2013 itu beliau telah mengalami suatu mimpi yang agak pelik. Dalam mimpi berkenaan, beliau seolah-olah terjatuh dari sebuah bangunan yang agak tinggi di mana kedua-dua kakinya didapati patah.

Pada pagi 30.4.2013, seperti biasa jam 8.00 pagi beliau ke tempat kerjanya. Ketika waktu rehat selama 15 minit, lazimnya beliau akan pulang ke rumah untuk berehat sementara. Tetapi pada hari berkenaan, beliau berasa tidak sedap hati untuk pulang ke rumah yang jaraknya kira-kira 150 meter dari tempat kerja, beliau sebenarnya tidak berhasrat untuk pulang ke rumah ketika itu disebabkan hal berkenaan. Namun, pegawainya memaklumkan kepada beliau bahawa masa rehat sudah sampai dan wajarlah beliau pulang ke rumah ketika itu.

Akhirnya beliau pulang ke rumah juga setelah dimaklumkan oleh pegawainya yang beliau sering memanggilnya sebagai "bos". Ketika beliau memasuki laluan Jalan Tengku Mohd. Ma'asum berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Zainab Satu, Kota Bharu beliau terpandang sebuah motosikal Honda 70 Cup dari arah belakang sebuah lori muatan di mana penunggangnya tidak memakai topi keledar. Beliau tidak mempedulikan gelagat penunggang motosikal itu kerana niatnya untuk sampai ke rumah. Tetapi secara tiba-tiba, penunggang motosikal yang sedang menunggang dari belakang lori muatan itu membuat pusingan ke kanan untuk memasuki sebatang lorong sekolah berkenaan secara tidak wajar dan mengejut. Disebabkan jaraknya sudah terlalu dekat, beliau menekan brek motosikal dengan kuat dan cuba mengelak ke sebelah kiri iaitu ke tepi jalan berhampiran sekolah tersebut supaya tidak berlakunya sesuatu kejadian yang tidak diingini. Namun, tindakannya tidak berjaya kerana kelajuan motosikal penunggang motosikal Honda itu terlalu laju dan agak keras telah merempuh motosikal yang ditunggang oleh Anis.

Akibat rempuhan kasar dan agak kuat itu, Anis terpelanting dan tercampak di tepi jalan dalam keadaan meniarap, namun sempat beliau berguling beberapa kali ke tepi jalan walaupun motosikalnya itu didapati telah menghempap ke atas pahanya. Beliau kemudiannya bangun seketika untuk menyelamatkan diri ke tepi jalan tersebut yang kemudiannya terjatuh kerana agak pening akibat dirempuh oleh penunggang motosikal itu secara agak keras. Dalam keadaan rebah itu, beliau terus merangkak perlahan-lahan untuk mengelakkan dirinya dari dipijak lori muatan lain dari arah belakangnya. Dalam keadaan menanggung kesakitan disebabkan kulit, anggota badan  dan darah menitis di tempat kejadian. Setelah mengheret tubuh badannya beliau menyandarkan dirinya di pagar sekolah berkenaan lantas menghubungi mamanya melalui telefon bimbitnya untuk memaklumkan tentang kejadian nahas itu.

Setelah beliau dapat memaklumkan kejadian itu kepada mamanya beberapa patah perkataan melalui telefon bimbitnya itu, beliau kemudiannya tidak bermaya dan matanya terpejam secara tiba-tiba. Mamanya yang tiba di tempat kejadian dengan membawa sebotol air mineral yang telah dibacakan Selawat Nabi S.A.W (7 kali) dan Surah Qul (7 kali) lalu dihembuskan ke dalam botol air mineral itu sempat melihat Anis dalam keadaan tidak sedarkan diri apabila dari hujung kakinya sehingga ke bahagian dada didapati putih dan kaku seperti mayat.

Ketika ditanya, Anis memberitahu, beliau berasa nyawanya (berwarna putih) telah ditarik dari hujung kaki sehingga ke bahagian dada di mana dadanya ketika itu terasa sakit dan berasa sangat panas (dadanya bagaikan hendak pecah) dan ketika itu juga beliau dapat melihat "alam barzakh", sebahagian nyawanya itu dirasakan hendak melepasi ubun-ubun kepalanya. Ketika itulah "rohaninya" bertanya "adakah ini ajal aku?" Kemudiannya beliau dapat mendengar satu suara berkata "tidak". Ketika itulah juga mamanya tiba lalu merenjiskan air ke muka dan ke bahagian dadanya. Mamanya memintanya "mengucap", "ingatkan Allah" dan "ingat dan pandang ustaz (tok guru)". Ketika itulah beliau dapat berkata "ak" dan beliau merasakan nyawanya telah masuk dan bercantum kembali dalam tubuh. Selepas itu, seluruh anggotanya dapat bergerak sedangkan sebelumnya beliau tidak sedarkan diri dan semua anggotanya telah kaku.

Selepas itu, mamanya menghubungi talian "kecemasan" dan Penulis menerima panggilan dari mamanya beberapa ketika sebelum itu. Semasa di pejabat pada hari kejadian, Penulis bersin sebanyak lima (5) kali sedangkan hal berkenaan tidak pernah berlaku sebelum ini. Menerima berita berkenaan, Penulis bergegas ke tempat kejadian dan sempat melihat Anis telah diangkat ke dalam kenderaan ambulan Kementerian Dalam Negeri lalu dibawa ke Bahagian Kecemasan, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Ketika Penulis tiba di Bahagian Kecemasan, Hospital Raja Perempuan Zainab II, pihak doktor telah membalut luka akibat bergeser dengan tar dari atas katil berkenaan yang kemudiannya dibawa ke bahagian X-Ray. Sebelum Anis ditolak masuk ke Bilik X-Ray pada hari yang sama, Penulis bertanya beliau adakah beliau telah pandang Ustaz (Tok Guru) di mana kalau beliau telah pandang, Penulis akan melakukan kaedah berkenaan bersama-sama, sambil memegang tangannya Penulis memberitahunya "tiada apa-apa". Beliau menyatakan beliau masih ingatkan Ustaz (Tok Guru) ketika itu. Setelah itu, beliau dibawa masuk ke Bilik X-Ray di hospital berkenaan. Katanya, di antara bahagian tubuh yang telah di X-Ray seperti kepala, dada, pinggang dan kaki.

Kira-kira setengah jam kemudiannya beliau dibawa keluar dari Bilik X-Ray ke tempat awal beliau ditempatkan di hospital tersebut. Hasil pemeriksaan terhadap filem X-Ray itu, doktor mengesahkan beliau tidak mengalami sebarang kompilasi atau masalah dalaman tetapi pihak doktor meminta beliau untuk bermalam di hospital itu untuk pemeriksaan lanjut. Namun, beliau menolaknya dengan meminta beliau dibenarkan pulang. Seketika kemudian, beliau bangkit dari katil hospital itu lalu melangkah turun dan berjalan keluar hospital.

Kejadian itu dilihat oleh sebahagian kakitangan hospital termasuk doktor terbabit. Bapa pelajar yang merempuh Anis turut berada berdekatan katil beliau merasa terpegun dan beliau sempat berkata, anak Penulis seorang yang keras semangat dan seolah-olah penyakitnya dicabut dengan mudah ketika itu. Penulis menerangkan serba sedikit kepada bapa pelajar yang merempuh Anis ketika itu bahawa, jika jiwa bersih dan rohani suci dan jika rohani sentiasa mengingati Allah dan sentiasa bersama Ustaz (Tok Guru), Allah pasti memberikan pertolongan. Jika tiada hal seumpama ini, paling jelas rugilah umat-umat Islam.

Nasihat Penulis:
1. Jika anda mengalami kemalangan seumpamanya dan jika tubuh boleh bergerak walaupun tubuh masih lemah dan tidak bermaya, cuba gagahkan dan kuatkan semangat diri untuk tidak tertidur. Sebab lazimnya, jika tertidur, ketika itulah "nyawa" keluar dari "jasad".

2. Hal yang melemahkan tubuh badan, jiwa dan rohani adalah disebabkan "saka". Untuk memperolehi rohani yang kuat dan bersih, buanglah saka itu.

Anis Sabirin bin Azmi.


 Di tempat inilah kejadian nahas itu berlaku.

Inilah pagar sekolah, tempat Anis Sabirin menyandarkan tubuhnya.

Foto di hospital tidak dapat dirakam kerana Penulis tidak membawa kamera bersama.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 24 April 2013

Majlis Peralih Saka: Kg.Kor (Kota Bharu)


MAJLIS PERALIH SAKA

KOTA BHARU, KELANTAN:  KAMI dari Skuad Ghostbusters yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh dan Anis Sabirin bin Azmi memainkan peranan dalam "Majlis Peralih Saka" yang dilakukan terhadap sebuah keluarga (enggan disiarkan gambar) dari Kampung Kor dekat sini pada 24.4.2013.

Selain Tuan Guru (Badar), Ustaz Zalfakar Zakaria bersama tiga pembantunya, kami bertolak bersama ke kampung berkenaan jam 10.15 malam. Majlis berakhir kira-kira jam 11.30 malam.

Unit kami dapat mengesan makhluk khodam itu keluar dari tiga keluarga berkenaan dan berakhir dengan keadaan yang baik.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 11 April 2013

Tempur Langsuir: Kg.Kor (Kota Bharu)


BERTEMPUR DENGAN LANGSUIR

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA 11.4.2013 (malam), kami dari Skuad Ghostbusters yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh serta Anis Sabirin bin Azmi sekali lagi ke rumah mangsa di Kampung Kor dekat sini, susulan daripada program dan khidmat pertama unit kami pada 6.4.2013 yang lalu.

Dalam aktiviti dan khidmat pertama unit kami pada 6.4.2013 itu, unit kami telah dapat memerangkap seekor "hantu raya" menggunakan bahan-bahan seperti sebiji buah kelapa segar, sebiji telur ayam kampung dan sedikit tanah tapak rumah. Melalui kaedah Warisan Pusaka Tok Kenali menggunakan bahan-bahan tersebut telah mempengaruhi hantu raya itu untuk masuk ke dalam buah kelapa itu untuk tujuan memakan "isinya" iaitu telur tersebut sehingga makhluk halus itu terperangkap dan tidak lagi dapat keluar.

Pada 11.4.2013, unit kami bertolak ke kampung tersebut buat kali kedua jam 10.30 malam dan kami tiba di sana jam 10.45 malam. Sekali lagi melakukan kaedah wirid Warisan Pusaka Tok Kenali kerana dari pengamatan kami, makhluk halus yang dinamakan "langsuir" sedang memerhatikan kami dan kami tidak nampak kelibat "pocong" sebagaimana minggu lalu. Pada malam ini, kami hanya berperang dengan langsuir sahaja.

Selepas kaedah wirid sheikh dan jabat dalam rumah keluarga mangsa, kami kemudiannya turun ke laman dan terus ke tempat persembunyian dan penempatan langsuir terbabit yang letaknya di belakang rumah keluarga tersebut. Seorang anggota Skuad Ghostbusters kami, Anis Sabirin bin Azmi kemudiannya melempar garam kasar yang dicampurkan dengan arang dan paku karat ke arah langsuir itu sebaik kami bergegas dan tiba di kawasan tersebut. Langsuir itu kemudiannya melompat ke bahagian paling belakang rumah terbabit lalu berlanggar dengan reban arnab terbabit. Kami kemudiannya mengepung makhluk itu, sehinggakan makhluk halus terbabit terbang pula ke sisi rumah tersebut.

Menurut Anis Sabirin, ketika beliau tiba ke tempat itu (sisi rumah terbabit), dilihatnya langsuir terbabit sedang bergayut di sebatang pelepah daun pisang yang tumbuh subur di sisi rumah berkenaan. Berikutan itu, beliau terus menabur garam tersebut betul-betul ke arah langsuir yang sedang bergayut itu. Mungkin garam yang berterabur ke arah makhluk halus itu, langsuir tersebut kemudiannya terbang pula ke hadapan rumah mangsa untuk bertenggek di sebatang pokok kelapa yang agak rendah di mana kawasan berkenaan adalah laluan ke beberapa rumah jiran mangsa. Beberapa ketika kemudiannya, langsuir tersebut terbang dan menjunam ke arah sebuah busut anai-anai yang terletak di seberang parit rumah mangsa dan ini memudahkan Anis Sabirin melempar garam ke arah itu sehingga makhluk terbabit berlalu pergi.

Kami menunggu beberapa ketika untuk menyaksikan makhluk degil itu datang kembali atau sebaliknya. Namun, makhluk tersebut dilihat sedang terbang ke arah sebuah sekolah di kampung itu.

Di kawasan inilah langsuir itu bertenggek dan menjadikannya sebagai penempatan.


Anis Sabirin mula melempar garam ketika langsuir itu mula bergerak dari tempatnya bertenggek.

Mungkin kerana terlalu sakit, langsuir itu terbang lalu berlanggar dengan reban arnab ini.

Langsuir itu kemudiannya terbang dan bertenggek di pelepah pisang ini buat beberapa ketika.

Dari arah sisi rumah mangsa, langsuir itu terbang pula ke sebatang pokok kelapa di hadapan rumah mangsa.

Langsuir itu kemudian menjunam ke arah sebuah busut anai-anai yang terletak berhampiran sebuah parit di hadapan rumah mangsa.

Foto ini dirakam di rumah keluarga terbabit di Kampung Kor, Kota Bharu, Kelantan pada 11.4.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH 

Ahad, 7 April 2013

Tangkap Hantu Raya: Kg.Kor (Kota Bharu)


BAHANA MAKHLUK HALUS

KOTA BHARU, KELANTAN: PADA 6.4.2013 (malam), kami dari Skuad Ghostbusters yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh serta Anis Sabirin bin Azmi bergegas ke sebuah rumah di Kampung Kor dekat sini berikutan makluman daripada keluarga terbabit sejak seminggu yang lalu. Ketika unit kami memasuki perkarangan rumah terbabit jam 10.05 malam, kami dapat mengesan hawa panas yang begitu ketara untuk menunjukkan keluarga berkenaan mengalami gangguan makhluk terbabit selain disebabkan pengaruh saka.

Melalui kaedah Warisan Pusaka Tok Kenali, unit kami dapat mengesan kehadiran makhluk halus seperti langsuir, pocong, hantu raya (sejenis makhluk halus penjaga rumah) termasuk saka keturunan. Kami tidak dibenarkan untuk merakam foto di kawasan terbabit, namun foto yang dirakam secara "infra-red" berhampiran rumah terbabit memadai untuk dijadikan contoh kehadiran unit kami ke rumah berkenaan.

Kami meminta pihak keluarga terbabit menyediakan peralatan dan bahan-bahan seperti sebiji kelapa muda segar, sebiji telur ayam kampung, sedikit garam kasar, sebatang paku, sedikit arang serta secubit tanah tapak rumah. Selepas kaedah wirid, kami melakukan kaedah seterusnya dengan menebuk sebiji kelapa muda itu lalu dimasukkan isi telur ayam kampung yang telah dibuang kulitnya dengan diisi bersama secubit tanah tapak rumah. Tidak sampai satu minit, makhluk yang dikenali "hantu raya" memasuki lubang kelapa muda segar itu untuk memakan isi kandungan di dalamnya iaitu telur tadi.

Selepas mengetahui makhluk halus berkenaan diyakini berada sepenuhnya di dalam buah kelapa muda itu, kami kemudiannya menutupnya lalu memacakkan sebatang paku yang telah disediakan. Buah kelapa yang telah memerangkap makhluk halus "hantu raya" di dalamnya itu, kami bungkus dan dialirkan di sebatang sungai dekat Wakaf Stan.

Mangsa meminta unit kami menjelaskan tentang hakikat gangguan makhluk halus seperti langsuir, pocong sert hantu raya itu. Menurut hemat unit kami, lazimnya langsuir dan pocong tempat yang paling digemarinya ialah di tanah perkuburan. Salah satu sebab makhluk berkenaan berada di kawasan rumah mangsa berikutan semasa tanah yang ditimbun untuk tapak rumah ketika itu mungkin telah bercampur dengan sedikit tanah kubur. Manakala hantu raya itu pula, kami dapat mengesan di kawasan terbabit telah dijadikan sebagai tempat pemujaan selain tempat buangan saka. Hantu raya ini menganggap kawasan itu adalah kawasan laluan dan tempatnya bermain, hal ini dapat ditanggapkan makhluk berkenaan seolah-olah sebagai pengawal atau penjaga di kawasan yang dimaksudkan.

Kaedah menabur/melempar garam kasar yang dicampurkan dengan arang serta paku akan di laksanakan dalam masa terdekat beberapa hari lagi untuk tujuan menghalau makhluk halus yang masih menghuni di kawasan sawah padi yang telah dijadikan sebagai tapak rumah berkenaan.

Rumah mangsa berhampiran dengan lorong ini.

Bungkusan yang mengandungi makhluk halus (hantu raya).

Makhluk halus itu dialirkan di sebatang sungai.

Foto ini dirakam di Kampung Kor dekat sini pada 6.4.2013.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 2 April 2013

Perhimpunan ABJAD Malaysia: Ulu Chepor (Perak)



PERHIMPUNAN ABJAD MALAYSIA

IPOH, PERAK:  PERSATUAN Warga Melayu dengan kerjasama Angkatan Bina Jati Diri (ABJAD Malaysia) dan Pertubuhan Gerak Seni Silat ABJAD (Asli) Jabat Kilat Malaysia telah mengadakan Perhimpunan Mesyuarat Agong Perwakilan Dwi Tahunan Sessi 2013, 2014 dan 2015 bertempat di Lata Ulu Chepor, Ipoh, Perak selama dua hari bermula 30 Mac sehingga 31 Mac, 2013.

Di antara program yang telah diatur pada hari Pertama (30.3.2013) selepas anggota ABJAD Malaysia yang meliputi 19 Cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak seperti Khatam Al-Quran, Nasyid Maharaja, Tazkirah dari Kitab "Futuhul Ghaib" karangan Sultan Wali, Sayyid Sheikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jilani yang disampaikan oleh ulama dan Wali Kutub Zaman merangkap Guru Ijazah Pusat dan Yang Dipertua ABJAD Malaysia, Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Che Din. Manakala pada sebelah malamnya diadakan acara mandi minyak.

Pada hari Kedua (31.3.2013) selepas Tazkirah, diadakan acara Musabaqah Silat yang dirasmikan oleh Timbalan Guru Ijazah Pusat Merangkap Timbalan Yang Dipertua ABJAD Malaysia, Ustaz Haji Idris bin Haji Mahamud yang diadakan di gelanggang silat berhampiran. Kira-kira 19 Cawangan Pertubuhan Gerak Seni Silat ABJAD (Asli) Jabat Kilat telah turut serta dalam Musabaqah Silat berkenaan.

Dua anggota Skuad Ghostbusters yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz) serta Azmi Mohd. Salleh turut serta dalam perhimpunan dan program berkenaan.


Aziz Haji Daud sedang melakukan persiapan di Pusat Abjad Taqlibiah Wal-Sauthiah, Kelantan pada 30.3.2013.


Anggota Skuad Ghostbusters, Aziz Haji Daud ketika tiba di tapak program di Lata Ulu Chepor, Ipoh, Perak pada 30.3.2013.

Aziz Haji Daud ketika sedang mendengar tazkirah dari kitab "Futuhul Ghaib" karangan Sultan Wali Sayyid Sheikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jilani yang disampaikan oleh ulama, Wali Kutub Zaman merangkap Guru Ijazah Pusat dan Yang Dipertua ABJAD Malaysia, Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Che Din.

Inilah tempat perhimpunan ABJAD Malaysia meliputi 19 Cawangan ABJAD dari seluruh semenanjung termasuk Sabak dan Sarawak.

Foto ini dirakam di Pusat Abjad Taqlibiah Wal-Sauthiah, Kelantan dan Lata Ulu Chepor, Ipoh, Perak pada 30.3.2013 dan 31.3.2013.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH