SKUAD GHOSTBUSTERS: Majalah Maya . Aktiviti . Foto/Video . Memulihkan Gangguan Makhluk Halus . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://abjad-kelantan.blogspot.com

Jumaat, 4 Januari 2013

Makhluk Halus: Pasir Tumboh (Kota Bharu)

MAKHLUK HALUS MENCURI

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA 23.10.2012 (malam), Unit Ghostbusters kami yang terdiri daripada Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Azmi Mohd. Salleh dan Hafaizal Mat Ali bergegas ke rumah mangsa yang sering kehilangan wang tunai secara ghaib setelah menerima panggilan telefon dari anak saudara mangsa pada 22.10.2012. Kebanyakan wang tunai yang hilang itu dalam note RM50 dan kehilangan itu berlaku hampir setiap hari, jumlah kesemuanya yang hilang kira-kira RM2,000.

Menyedari kejadian agak pelik itu, mangsa pada mulanya tidak ingin mempercayai kejadian kehilangan itu disebabkan angkara "toyol". Tetapi berikutan dua dakwaan yang pernah dibuat oleh pengamal rawatan tradisional yang memberitahunya, kehilangan wang tunainya itu disebabkan perbuatan toyol yang diarahkan oleh "tuannya" dari kalangan penduduk tempatan juga.

Ketika Unit Ghostbusters kami tiba di rumah mangsa sambil ditunjukkan oleh anak saudaranya, kami masuk ke dalam rumah berkenaan sambil berbual-bual tentang hal berkenaan. Kira-kira 10 minit kemudiannya, Penulis bersama Abang Aziz keluar ke laman rumah mangsa. Ketika kami turun ke laman itu, Penulis dapat melihat dengan jelas kelibat "hantu raya" sedang bersandar di sebatang pohon bonsai yang terletak di penjuru pagar rumah mangsa. Apabila kami merakam foto, kamera tidak dapat merakam objek ghaib itu walaupun secara "infra-merah" mahupun menggunakan lampu kamera.

Selepas itu, kami masuk semula ke dalam rumah untuk melakukan beberapa kaedah wirid dan jabat untuk tujuan mengesan makhluk halus lain yang ada di kawasan sekitar rumah mangsa. Semasa dalam kaedah, Penulis dapat melihat lampu di rumah mangsa seperti "berkelip-kelip" (seperti dibuka dan ditutup berulang kali), malah Penulis dapat melihat di luar pagar rumah mangsa seperti ada satu pancaran sinar mata sebesar buku lima berwarna merah dan putih (sedang memerhatikan Penulis dari jarak jauh). Manakala menurut Abang Aziz pula, makhluk terbabit seperti memerhatikan kami sedang wirid dan salah satu makhluk (semuanya tiga makhluk halus) telah menyeringai ke arah kami ketika itu.

Setelah selesai kaedah wirid itu, Unit Ghostbusters kami turun ke laman untuk aktiviti melempar/menabur garam yang telah siap digaulkan bersama (garam kasar, paku dan arang) ke tempat-tempat yang sering menjadi laluan makhluk "hantu raya" itu menurut apa yang kami lihat. Selang beberapa minit kemudian, Penulis dapat melihat makhluk berpakaian hitam sedang mundar-mandir di luar (mungkin tidak dapat masuk ke kawasan laman rumah). Tidak berapa lama selepas itu, Penulis pula dapat melihat makhluk "berkepala botak" dan "bertubuh sasa dan kasar" yang mengenakan pakaian putih agak lusuh diikuti selepas itu makhluk bertubuh rendah dan agak renek. Kesemua makhluk berkenaan adalah makhluk yang sama iaitu "hantu raya" yang merubah corak penjelmaannya.

Beberapa detik kemudian, unit kami melakukan aktiviti melempar/menabur garam sebagaimana yang dilakukan oleh unit kami apabila diketahui wujudnya gangguan seumpamanya. Ketika aktiviti berkenaan, Penulis sempat merakam sekeping foto makhluk yang kami anggap seperti "hantu raya" (warna hitam) yang muncul dalam kamera kami. Kami menunggu perkembangan seterusnya dalam masa setengah jam sebelum unit kami bertolak pulang. Apabila keadaan mengizinkan dan tiada pekembangan yang sebaliknya, Unit Ghostbusters kami beredar dari rumah mangsa jam 12.55 tengah malam.

Dua anggota Unit Ghostbusters, Aziz Haji Daud (kanan, ketayap) dan Hafaizal Mat Ali (kiri, baju kuning).

Arah inilah hantu raya itu datang.


 
Hantu raya tiba-tiba menjelma berhampiran pohon bonsai ini.

Rakaman awal (lampu kamera): Tiada sebarang objek muncul. 

Rakaman kedua (infra-merah): Kelihatan objek hitam (anak panah) seolah-olah sedang berdiri di belakang Penulis. 


Seorang anggota Unit Ghostbusters sedang melempar/menabur garam.

 Foto ini dirakam di Taman Seri Wangi, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan pada 23.10.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum. saya mencari rawatan di sekitar Pasir Mas.sebelum ini saya ada terambil rokok dan makanan pemberian jiran, selepas itu saya terasa sakit dan banyak gangguan berlaku dibahagian dada,perut dan muka.
    Ini email saya : tubuhsatu@gmail.com
    Semoga Allah membalas kebaikkan tuan dengan kebaikkan yang banyak.

    BalasPadam